Ahad, 16 November 2008

Universiti...

Bila berbicara soal universiti, maka setiap orang akan mempunyai pandangan yang sangat berbeza antara satu sama lain. Mungkin ada yang akan mengatakan yang kehidupan di universiti sangat seronok, tidak kurang juga yang akan mengatakan yang kehidupan di universiti sangat membosankan, ada juga yang memberi komen bahawa kehidupan di universiti membuatkan seseorang itu akan tertekan walau dengan apa cara sekalipun, dan tidak kurang pula yang tidak memberi sebarang komen mengenai kehidupan sebagai seorang pelajar di universiti. Apapun pandangan yang diberikan oleh mana-mana pelajar sekalipun, semuanya adalah benar belaka. Mengapa demikian? Kerana, setiap kita mempunyai perspektif tentang sesuatu perkara, dan jika sesuatu yang kita lihat itu adalah benar bagi diri kita maka ia masih dianggap sebagai perkara yang betul.
Kadangkala kita perlu memberi peluang kepada diri kita untuk membetulkan semua perkara yang kita nampak. Hal ini penting kerana, setiap manusia mempunyai daya fikir yang berbeza. Apa yang dimaksudkan dengan daya fikir dalam konteks ini ialah kebolehupayaan diri individu dalam menilai sesuatu perkara. Mungkin konsep ini terlalu ringkas dalam penerangan ini, tetapi ia sebenarnya merupakan suatu konsep yang sangat kompleks.
Sesetengah individu, terutama yang mempunyai status pendidikan yang baik akan menolak pendapat ini. Hal yang demikian kerana, mereka tidak memandang kepada apa yang cuba dimaksudkan oleh seseorang individu itu tetapi lebih cenderung kepada menilai apa yang dikatakan oleh seseorang individu itu dengan teori beasaskan suara ramai. Suara ramai yang cuba dimaksudkan dalam konteks ini ialah, individu-individu yang terdiri daripada kelompok mereka sahaja.
Apabila hal ini berlaku, satu fenomena yang mereka(golongan cendikiawan) tidak perasan kewujudannya terjadi di dalam diri mereka, iaitu mereka telah mencabuli hak seseorang itu dalam memberikan pendapat. Mereka akan mendengar apa yang diperkatakan oleh seseorang individu itu, tetapi dengan apa yang mereka miliki akan menganalisis maklumat daripada individu itu. Perkara ini masih menjadi suatu yang wajar, jika tidak ianya dicemari dengan analisis-analisis yang boleh menjatuhkan nilai intuisi seseorang manusia.
Oleh itu, dalam memberikan pendapat, kita tidak sepatutnya malu kerana apapun pendapat yang kita kemukan, semuanya adalah benar selagi pendapat itu keluar daripada pemikiran dan hati yang ikhlas. Penganalisisan perlu dilakukan, dan penyampaian maklumat analisis perlu membina jati diri setiap pemberi pendapat.
~Akan bersambung...~

Tiada ulasan: